Jadilah Penyelamat

Jadilah Penyelamat

Kebiasaannya, individu yang berhadapan dengan penyakit mental memberikan kesan tertentu kepada persekitaranya. Selain perlu menghadapi pelbagai gejala daripada penyakit berkenaan, pandangan masyarakat terhadap golongan pesakit mental juga memberikan kesan tertentu.

Diskriminasi terhadap penghidap sakit mental bukanlah perkara yang asing, kerana masih terdapat segelintir dalam kalangan masyarakat yang salah faham, seterusnya mempunyai pandangan yang skeptikal terhadap pesakit mental. Malah, diskriminasi terhadap pesakit mental juga sering berlaku apabila masyarakat beranggapan bahawa pesakit mental cenderung untuk mencederakan orang sekelilingnya. Padahal, pesakit mental pada kebiasaannya lebih mudah untuk mencederakan diri sendiri berbanding untuk menyakiti orang lain. 

Kekurangan pengetahuan tentang penyakit mental juga jadi penyumbang kepada stigma sosial. Sebagai contoh, kita sering mendengar hujahan awam yang mengatakan bahawa seseorang boleh menghidap kemurungan atau penyakit mental kerana terlalu banyak berfikir, kegagalan mengurus tekanan, malah ada juga yang mengatakan penyakit mental boleh berlaku apabila seseorang mempunyai keperibadian yang negatif. 

Padahal, terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang mengalami kemurungan atau masalah mental.

Antaranya, tindak balas kimia yang berlaku pada otak, boleh menyebabkan seseorang mengalami kemurungan.  

Neurotransmitter seperti dopamine, norepinephrine dan serotonin memainkan peranan penting dalam mengawal mood dan emosi seseorang. Terdapat penyelidik yang berpendapat bahawa ketidakseimbangan neurotransmitter dalam otak boleh menyebabkan kemurungan. Seterusnya, ia membuktikan bahawa penyakit mental dan sakit pada fizikal mempunyai persamaan yang ketara, ianya disebabkan  oleh tindak balas kimia, dan boleh dirawat menggunakan ubat tertentu. 

Ketika berhadapan dengan orang yang mengalami sakit atau kecederaan fizikal, pada kebiasaanya kita lebih mudah untuk menghulurkan bantuan kepada mereka agar kecederaan tersebut tidak melarat seterusnya cepat sembuh.

Namun, apabila berhadapan dengan pesakit mental, kita jarang untuk memberikan reaksi yang sama seperti orang yang mengalami kecederaan fizikal. Layanan, reaksi atau respon yang sama terhadap pesakit mental dan kecederaan fizikal sepatutnya perlu berada pada tahap yang sama, agar sakit (mental atau fizikal) keduanya sama-sama boleh dihentikan segera daripada merebak, serta dirawat hingga sembuh. 

Oleh itu, apakah yang harus dilakukan untuk membantu penghidap masalah mental?

 

Kenal pasti simptom masalah mental

Penyakit mentalyang dialami oleh penghidapnya, biasanya tidak dapat dilihat oleh kebanyakan orang. Malah, bukanlah sesuatu yang asing apabila penghidap masalah mental sendiri, tidak menyedari bahawa dia sebenarnya sedang berhadapan dengan satu penyakit yang perlu mendapat rawatan. Justeru, semua pihak perlu mengambil tahu akan penyakit yang sukar untuk dilihat melalui mata kasar ini. Apabila kita tahu mengenai penyakit ini, ia memudahkan kita untuk membantu individu di sekeliling kita mengenal pasti symptom yang terdapat pada pesakit, seterusnya membolehkan serta memudahkan pesakit tersebut untuk mendapatkan rawatan awal. Antara tanda-tanda awal penyakit mental yang boleh diperhatikan adalah seperti mempunyai masalah untuk malakukan tugasan di sekolah, tempat kerja, maslaah melakukan aktiviti sosial dan  cepat marah. Selain itu, terdapat juga individu yang mengalami penyakit mental, akan mengalami perubahan drastik pada waktu tidur dan selera makan. 

  

 Nyatakan sokongan padu anda 

Jangan sesekali untuk menjadi hakim kepada perasaan dan tindakan mereka. Misalnya, menyuruh mereka untuk lupakan kesedihan dan cuba untuk bergembira. Ianya sama seperti kita menyuruh seseorang untuk berjalan kaki, meskipun dia baru mengalami kemalangan dan patah kaki. Jadi pendengar yang baik, cuba memahami situasinya tanpa mengabaikan sedikit pun perasaannya – adalah Tindakan yang cukup baik! 

 

Bantu mereka cari sokongan 

Segelintir penghidap sakit mental tidak pasti akan cara untuk menghubungi pihak pihak tertentu bagi mendapatkan bantuan dan sokongan. Bagi sesetengah kes, meskipun mereka mempunyai pengetahuan yang cukup untuk mendapatkan bantuan dan sokongan namun, ketakutan yang menyelubungi biasanya boleh menghalang mereka untuk mendapatkan pertolongan daripada pihak yang sepatutnya. 

Dengan sedikit carian, anda boleh membantu mereka membuat tinjauan terhadap mana-mana pusat rawatan professional berdasarkan masa, faktor kewangan, lokasi, kemudahan dan perkara lain yang berkaitan. Dengan itu, pesakit lebih mudah untuk memilih pihak yang bakal merawatnya mengikut beberapa faktor yang disebutkan di atas. 

Anda juga boleh memberi sokongan dan bantuan kepada mereka untuk sesi terapi yang berterusan. Rawatan sakit mental kadang kala memberikan beban tertentu, sehingga mampu membuatkan seseorang menjadi ‘penat’ seterusnya terdorong untuk menghentikan rawatan sebelum betul-betul sihat seperti sedia kala. Keadaan seperti ini memerlukan anda untuk memberikan sedikit dorongan kepada mereka untuk meneruskan sesi rawatan. 

  

Bagi tawaran bantu tugasan seharian  

Tugas seharian yang banyak dan berlebihan boleh menyebabkan sakit mental bertambah serius. Bermula dengan perkara-perkara yang mudah seperti membasuh baju di dobi, membelikan barang keperluan harian, atau membantu pasangan membersihkan rumah, boleh mengurangkan beban yang ditanggung oleh pesakit mental. Di rumah misalnya, sekiranya pesakit terabai kerja-kerja di rumah, adalah sangat baik jika boleh menghulurkan tangan bagi memudahkan pesakit berkenaan memberi tumpuan pada kerja hakiki di pejabat misalnya.  

 

Penjagaan diri 

Akhirnya, anda wajib untuk menjaga diri anda sendiri, sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Menjaga atau berhadapan dengan penghidap sakit mental menuntut lebih tenaga daripada anda agar anda tidak cepat penat atau tidak berpuas hati denga napa yang telah anda lakukan.  

Anda juga perlu tahu had anda secara keseluruhan termasuk had masa, had kewangan, had tenaga dan sebagainya. Mewujudkan rangkaian dari kalangan rakan dan saudara sekeliling untuk memberikan bantuan secara kolektif kepada penghidap sakit mental, banyak memberi kelebihan kepada anda dan pasukan, serta kelebihan kepada pesakit itu sendiri.  

Jika insan yang anda sayang kini sedang bergelut dengan masalah mental, segera hubungi kami! 

 

Related Posts